SEPTEMBER 2021

JTS, UTM Jalin Kerjasama R & D


KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) hari ini telah memetrai perjanjian persefahaman (MOU) dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk merintis kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R & D) melalui penubuhan makmal satelit. 

MOU tersebut telah ditandatangani oleh Pengarah JTS Abdullah Julaihi bagi pihak JTS dan Professor Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, Naib Canselor UTM bagi pihak UTM sebagai acara sempena Hari Integriti dan Innovasi (HIITS) 2021. 

Majlis tersebut disaksikan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg bertempat di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri Sarawak di Petra Jaya.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amat Jaul Samion. 

Dalam amanat beliau terdahulu, Datuk Patinggi Abang Haji Zohari memuji usaha JTS ke arah memperkasakan program R & D untuk menambah nilai perkhidmatan yang disediakan kepada masyarakat.

“Saya mengucapkan tahniah kepada JTS kerana telah merealisasikan dan menunjukkan impak R & D ini dengan kolaborasi bersama UTM,” ujar beliau.

Beliau juga menekankan peri pentingnya jaringan telekomunikasi untuk menyalurkan maklumat dengan pantas dalam usaha merangsang pembangunan di Negeri ini.

“Data seperti perancangan bandar, kemajuan bandar dan kualiti tanah sangat diperlukan dalam melaksanakan kegiatan ekonomi di atas tanah berkenaan. (Ini penting kerana) kegiataan pertanian dan pembangunan hartanah adalah dua aktiviti yang sering berlawanan (kepentingan) dalam program pembangunan tanah.

“Dalam keadaan ini maklumat perlulah didapatkan dengan cepat,” jelas beliau.

Oleh itu, tambah beliau, Kerajaan Sarawak sedang melaksanakan program “connectivity” yang strategik melalui inisiatif SALURAN (Sarawak Linking Urban and Rural Areas and Nation) untuk mempertingkatkan jaringan maklumat dan data di seluruh negeri.

Inisiatif ini melibatkan kerjasama empat agensi iaitu Sarawak Multi-media Authority (SMA), Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), Malaysian Communications and Multimedia Corporation (MCMC) dan SAINS. 

Beliau kemudiaan menyampaikan anugerah kepada pemenang-pemenang Kumpulan Inovasi dan Kreatif (KIK) dan Pegawai Integriti.

Sumber dari : Sarawakku